FACEBOOKTITLETITLETITLEFOLLOW

Sunday, 8 July 2012

Bercinta Dan Couple, Ada Beza Ker ?



Pertamanya, apa maksud bercinta itu? Adakah maksudnya memiliki dan berkongsi perasaan cinta antara lelaki dan perempuan? Atau maksudnya keluar berdua-duaan dan bermesra dengan jalan berpimpin tangan dan segala aktiviti lain? 

Saya rasa semua bersetuju bahawa kalau maksudnya keluar berdua-duaan dan bermesra dengan jalan berpimpin tangan dan segala aktiviti lain maka saya kira semua daripada kita akan bersetuju tentang keharamannya.

Tetapi kalau maksudnya, memiliki dan berkongsi perasaan cinta antara lelaki dan perempuan, apakah juga termasuk dalam perkara yang haram? Apakah yang salahnya di situ? Mungkin ada yang akan menjawab, tak boleh, kerana bercinta sebelum kahwin itu akan mengundang dosa dengan melakukan perkara-perkara tak baik.
Baik kalau begitu, bercinta itu tidak haram pada asalnya tetapi bertukar menjadi haram kerana tidak mematuhi batas-batas yang dibenarkan. Pendek kata, pengharaman itu berlaku bukan pada perasaan tersebut tetapi pada perkara luar. Atau dengan bahasa usul Fiqhnya cinta itu bukannya حرام لذاته / haram lizatihi, tetapi bertukar menjadi حرام لغيره / haram lighairihi kerana perkara lain.

Bermakna selagi mana batas-batas pergaulannya terjaga maka cinta itu tiada sebab dan alasan untuk diharamkan. 

Justeru, tidak sepatutnya wujud antara kita yang semudah-mudahnya mahu menghukum mereka yang menyimpan perasaan cinta antara satu sama lain itu sebagai haram kerana perasaan cinta itu adalah fitrah manusia yang suci. Hanya apabila batas-batas pergaulan dilanggar barulah hukumnya bertukar menjadi haram.

Makan daging lembu itu adalah halal, tetapi makan daging lembu yang dicuri adalah haram, bukan kerana daging itu, tetapi kerana masalah curi. Bagi menghalalkan kembali daging tersebut, bayar sahaja wang harga daging kepada tuan punyanya.

Begitu juga dengan cinta. Menyimpan dan berkongsi perasaan cinta dengan bukan mahram itu adalah satu perkara fitrah dan diharuskan dalam agama, tetapi apabila perasaan itu disertai dengan kehendak untuk persetubuhan haram (zina), maka diharamkan, bukan kerana perasaan tersebut tetapi kerana niat untuk persetubuhan haram tersebut.Justeru, bagi menghalalkan kembali hubungan cinta yang terjalin, perkara-perkara haram yang timbul perlu dibuang.

Memiliki dan berkongsi perasaan cinta ini yang halal ini diperakui oleh Nabi saw dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas:

عن ابن عباس رضي الله عنهما أن رجلاً قال: "يا رسول الله في حجري يتيمة قد خطبها رجل موسر ورجل معدم، فنحن نحب الموسر وهي تحب المعدم، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (لم نر للمتحابين غير النكاح)". أخرجه ابن ماجه (1/593، رقم 1847)، والطبرانى (11/17، رقم 10895)، والحاكم (2/174، رقم 2677) وقال: صحيح على شرط مسلم، والبيهقى (7/78، رقم 13231).

Maksudnya: Daripada Ibnu Abbas, bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi: “Wahai Rasulullah, aku ada memelihara seorang anak yatim perempuan. Dia dilamar oleh orang kaya dan orang miskin. Kami suka kalau dia memilih yang kaya, tetapi dia cinta kepada yang miskin. Maka berkata Rasulullah saw: (Kami tidak melihat perkara yang sesuai bagi orang yang saling menyintai itu kecuali kahwin)”. Hadith diriwayatkan oleh Ibnu Majah (1/593, no 1874), At-Tabarani (11/17, no 10895), Al-Hakim (2/174, no 2677) dan berkata bahawa “hadith ini sahih mengikut syarat Imam Muslim”, dan Imam Baihaqi (7/78, no 13231). 

Nabi langsung tidak mencela perasaan cinta yang dimiliki anak yatim perempuan tersebut sebelum berkahwin. Nabi hanya berkata bahawa perkara yang sesuai kepada orang yang saling menyintai itu adalah kahwin.

Hadith seterusnya berkenaan cinta Mughith kepada Barirah:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ: أَنَّ زَوْجَ بَرِيرَةَ كَانَ عَبْدًا يُقَالُ لَهُ مُغِيثٌ كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَيْهِ يَطُوفُ خَلْفَهَا يَبْكِي وَدُمُوعُهُ تَسِيلُ عَلَى لِحْيَتِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِعبَّاسٍ: يَا عَبَّاسُ، أَلَا تَعْجَبُ مِنْ حُبِّ مُغِيثٍ بَرِيرَةَ وَمِنْ بُغْضِ بَرِيرَةَ مُغِيثًا). فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (لَوْ رَاجَعْتِهِ). قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ تَأْمُرُنِي؟ قَالَ: (إِنَّمَا أَنَا أَشْفَعُ) قَالَتْ: لَا حَاجَةَ لِي فِيهِ. أخرجه البخارى (5/2023، رقم 4979)، وأبوداود (2/270، رقم 2231)، والنسائى (8/245، رقم 5417)، وابن ماجه (1/671، رقم 2075)، وأخرجه أيضًا ابن حبان (10/96، رقم 4273).

Maksudnya: Daripada Ibnu Abbas (dia berkata): “(Bekas) Suami Barirah adalah seorang hamba dipanggil Mughith. Seolah-olah aku melihatnya sekarang mengekori belakang Barirah dengan bercucuran air mata atas janggutnya. Nabi lalu berkata kepada Abbas: (Wahai Abbas, tidakkah engkau takjub dengan kecintaan Mughitgh kepada Barirah, dan kebencian Barirah kepada Mughith?. Kata Nabi kepada Barirah: (Kalaulah kamu dapat kembali kepadanya). Barirah lalu berkata: “Wahai Rasulullah, adakah kamu memerintahkan aku? Nabi berkata: (Aku hanya menjadi juru runding). Barirah berkata: “Aku tak punya hajat pada Mughith”. Hadith riwayat Imam Bukhari (5/2023, no 4979), Abu Daud (2/270, no 2231), Imam An-Nasa’I (8/245, no 5417), Ibnu Majah (1/671, no 2075), juga Ibnu Hibban (10/96, no 4273).

Apa yang dapat difahami daripada hadith ini adalah:

1) Nabi tidak pernah melarang Mughith daripada terus mencintai Barirah walaupun Barirah telah menjadi ajnabiyyah buatnya.

2) Nabi bahkan mengambil inisiatif bagi melihat cinta itu berjaya dengan memujuk Barirah supaya kembali kepada Mughith, tetapi apakan daya Barirah tetap menolak.

3)Nabi tidak memberikan sebarang komen terhadap Mughith yang setia mengekori Barirah untuk memujuknya. Bahkan Nabi bersabda kepada Abbas: (Tidakkah engkau takjub dengan kecintaan Mughitgh kepada Barirah, dan kebencian Barirah kepada Mughith?)


Lihat bagaimana ajaran Islam yang bersifat sesuai dengan realiti kehidupan berdepan dengan masalah manusia. Sayangnya ajaran Islam yang bersifat realistik dan meraikan fitrah manusia ini, dicemarkan oleh sebahagian daripada kita yang terlampau bersemangat dalam membasmi masalah gejala sosial, sehingga dalam sedar atau tidak sedar mereka turut membasmi fitrah manusia dan menjadikan ajaran Islam seolah-olah hanya merupakan fantasi kehidupan yang tidak pernah wujud.

Islam datang bukan untuk berkata: “Jangan menyintai dan buang perasaan cinta itu”, tetapi datang dengan mengajarkan kita bahawa andainya kamu jatuh cinta, maka barhati-hatilah agar cinta itu tidak membuatkan kamu terpesong daripada kebenaran.

Islam juga datang bukan untuk mengatakan kepada kita: “Jangan kamu membenci sesama kamu”, tetapi datang untuk mengajarkan andainya kamu membenci seseorang maka biarlah berpada-pada jangan sampai membutakan kamu daripada kebenaran. 

Jatuh cinta adalah perkara yang tidak mampu dikawal, hal itu terletak pada kuasa Allah dan Allah tidak akan menzalimi hambaNya dengan membebankan mereka dengan perkara-perkara yang tidak mereka mampu melakukannya. Masalah yang diperbahaskan dalam ilmu usul fiqh sebagai التكليف بما لا يطاق / Attaklif bima la yutaq.

Sedangkan Nabi sendiri pun meminta pengecualian daripada Allah dalam urusan berlaku adil antara isterinya dalam perkara yang melibatkan hati dan perasaan. 

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْسِمُ بَيْنَ نِسَائِهِ فَيَعْدِلُ، وَيَقُولُ: (اللَّهُمَّ هَذِهِ قِسْمَتِي فِيمَا أَمْلِكُ فَلَا تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلَا أَمْلِكُ). قال الترمذي: إِنَّمَا يَعْنِي بِهِ الْحُبَّ وَالْمَوَدَّةَ كَذَا فَسَّرَهُ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ. أخرجه الترمذي (1140)، وأبو داود (2134)، والنسائي (7/63).

Maksudnya: “Daripada Aisyah bahawa Nabi membahagikan antara isteri-isterinya dengan adil dan dia berkata: (Ya Allah, ini adalah pembahagian aku daripada apa yang aku miliki, janganlah Engkau mencela aku pada perkara yang Engkau miliki tapi tidak aku miliki).Berkata Imam Tirmizi: Sesungguhnya yang dimaksudkan itu adalah perasaan cinta dan sayang sebagaimana tafsiran ahli ilmu. Hadith dikeluarkan oleh Imam Tirmizi (1140), Imam Abu Daud (2134), dan Imam Nasa’I (7/63).

Jelas melalui hadith tersebut bahawa perasaan cinta dan sayang tidak mampu dikawal oleh manusia. Mustahil bagi seorang lelaki yang beristeri empat contohnya mahu berlaku adil terhadap isteri-isterinya dalam soal hati dan perasaan. Sebab itu Nabi sendiri memohon kepada Allah supaya tidak mencelanya pada perkara yang tidak dimiliki olehnya dan tidak termampu baginya untuk melakukan.

Hal sebegini disedari dengan baik oleh para sahabat. Dalam suatu kisah yang melibatkan Sayyidina Umar sendiri diceritakan bahawa telah datang kepadanya seorang lelaki dan berkata: “Wahai Amir Mukminin, sesungguhnya aku telah melihat seorang perempuan lalu aku jatuh cinta kepadanya”. Lalu Sayyidina Umar Bin Khattab berkata: “Itu adalah perkara yang tidak mampu dikawal”. Rujuk Al-Jawab Al-Kafi oleh Ibnul Qayyim, m/s 164, cetakan Darul Kutubil Ilmiyyah.

Hal ini berlaku kerana sememangnya manusia itu akan mudah jatuh cinta kepada sesiapa yang berkongsi keserasian dengannya, bak sabda Nabi dalam sebuah hadith:

(الأرواح جنود مجندة فما تعارف منها ائتلف وما تناكر منها اختلف(. أخرجه البخارى (3/1213،3158).

Maksudnya: (Roh-roh itu adalah ibarat tentera yang saling berpasangan, mana-mana roh yang secocok maka roh-roh itu akan bersatu, mana-mana roh yang tak secocok maka roh-roh itu akan berselisih). Dikeluarkan oleh Imam Bukhari (3/1213, no 3158).

Jangan bimbang jika hati dah suka, cuma kalau tak mampu, try tahan diri dari couple (dating2,manja2, dan aktiviti yang sewaktu dengannya)...

Sabda Nabi: (Antara keelokan Islam seseorang itu, dia meninggalkan apa yang tak patut baginya). Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi (4/558, no 2317) dan dia berkata: Gharib. Juga diriwayatkan oleh Ibnu Majah (2/1315, no 3976) dan Ibnu Hibban dalam kitab Sahihnya (1/466, no 229).

Berpuasalah.. Buat benda-benda baik...Jaga solat..sebab solat jaga diri dari buat benda haram...
tapi kalau mampu dan dah tiba masanya, kahwin je lah.. =) Mudahnye Islam.. Masyaallah!


وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." [QS Ar-Rum: 21].




0 12 Kurma manis:

Post a Comment

Manisnya Kurma ini